EveningSekinchan

January 31, 2009

Perjalanan Seorang Guru

Filed under: Uncategorized —Tagged — yusriyana @ 4:29 am

Kehidupan di Sarawak tidaklah seperti yang ku fikir sebelum ini. Cuma biasa lah perbezaan mesti ada cuma banyak atau sedikit memang ada lah bezanya. Hari ini sudah minggu ke 3 kami pergi ke Sarikei. Perjalanannya bukanlah dekat, kira kira hampir 2 jam perjalanan menaiki bot laju. Tambang boleh tahan juga, kira kira RM 70 pergi dan balik. Menaiki bot laju pada mulanya agak menyeramkan apatah lagi perjalanan pertama telah menjadi peristiwa yang agak tragik.Mana taknya rakan dalam bot PPD yang beriringan dengan bot PPD kami telah karam kerana gelombang laut yang kuat. Mujurlah kami di bawa oleh pemandu yang agak pandai dalam melawan gelombang. Seramai 11 orang guru baru telah karam dalam bot itu dan mujurlah bot tersebut sempat sampai  ke pantai dan mereka terpaksa mencampakkan beg beg besar ke laut dalam usaha untuk sampai ke pantai setelah bot di masuki air.

Mujurlah guru di pulau ini mendapat line telefon dan juga mendapat capaian internet. Elektrik juga tiada masaalah untuk kami ,kerana kampung yang kami diami memang mempunyai kemudahan elektrik yang bukannya generator tetapi elektrik biasa.

Kami bersyukur juga kerana imbuhan yang kami terima agak lumayan berbanding guru guru baru di semenanjung. Namun itu bukanlah yang menjadi perkara utama, kami juga memikirkan sejauhmana kerja yang kami buat itu harus di lakukan dengan sebaik mungkin.

Sarikei bandar kecil di sarawak yang mempunyai kemudahan yang baik. Pekan sarikei adalah terletak di hentian sungai dan bahagian yang berdekatan dengan bahagian Sibu. Itulah pekan terhampir kami untuk membeli barangan dan urusan bank dan bil.

January 26, 2009

Gara Gara payak

Filed under: Uncategorized —— yusriyana @ 12:59 am

Payak dalam bahasa Melanau adalah bermaksud udang udang kecil dan sederhana besar. Manakala nama udang hanya di gunakan untuk udang yang bersaiz besar dan juga udang galah. Gara gara payak inilah badan badan aku di tumbuhi bintik bintik merah yang gatal dan memeritkan. Ceritanya bermula apabila aku,Sutiman, Ustaz Karim dan Uztaz Hadi di jemput untuk datang ke rumah orang kampung yang merupakan kawan baik Ustaz Hadi. Nama pakcik ini aku dah tak berapa ingat tapi itu tak penting, ceritanya apabila kami di jemput makan malam dengan di sajikan dengan payak masak sup+payak rebus dan nasi. Bukannya sedikit payak yang di hidangkan kepada kami ini,sampai kami meratah pulak apabila kekenyangan makan dengan nasi. 

Malam itu, di keheningan malam yang sepi dan dingin, apabila suara suara unggas jelas kedengaran dan embun embun menitis lembut di bumi ini, satu susuk tubuh bangun dari tempat pembaringannya. Dia menggaru-garu kaki dan tangannya yang gatal yang gatalnya itulah menyebabkannya terbangun dari mimpi yang romantis dan seksi. Bermula dari saat itulah sehingga ke waktu prosa ini di hasilkan kegatalan itu masih berterusan, dan di yakini olehnya bahawa kemungkinan besar ianya akibat makan payak itu dengan banyak dan berselera.

Bilakah kegatalan ini akan berakhir,Wallahualam,ubat telah ku sapu hanya waktu itu yang ku tunggu. Dan selepas ini, banyak lagi payak akan ku jamu dan banyak pula ikan ikan segar akan ku santap,hanya menunggu gelombang di laut reda sepenuhnya dan nelayan turun dengan selesa. Apabila mereka balik kami gembira kerana itulah santapan kami untuk mengisi talih talih kami. Harap harap pula aku tak elergiklah dengan payak lagi.

January 21, 2009

Aku Seorang Guru

Filed under: Uncategorized —— yusriyana @ 6:04 am

Sudah seminggu aku bergelar seorang guru. Perjalanan yang panjang ke sebuah daerah yang asing dan terasing. Di sebuah pulau yang terpisah dari daratan Matu/Daro. Kampung Penibung terletak berhadapan dengan Laut China Selatan.Kampung ini adalah sebuah kampung nelayan yang kegiatan utama adalah menangkap ikan di laut dan menanam padi di huma.
Capaian jalur lebar amat lemah tarikan. Capaian bukan seperti di tanah daratan di semananjung. Tapi aku tetap bersyukur kerana kehidupan masih terlaksana dengan cara tersendiri di sini. Air hujan adalah air yang menghidupkan wajah wajah manusia di sini.Sungai bergaram tak mampu untuk menghiburkan hati yang lara  jika kemarau melanda. Syukur disini ada karan.Ada juga hiburan di waktu senggang.
Kaum Melanau Islam adalah keseluruhan isi isi kampung ini terkecuali beberapa insan guru dan pekedai runcit serta pengusaha bot laju. Murid hanya ada 102 termasuk pra jadilah 126.Guru hanya ada 14 orang dan aku salah seorang darinya.
Hujan oh hujan harap kau turunlah hari ini.Boleh lah kami menadah untuk kegunaan hari esok..

January 10, 2009

Tersangkut di Daro

Filed under: Corat Coret —Tagged , — yusriyana @ 6:34 am

Perjalanan ke Pulau Bruit terkandas. Masih tidak dapat memasuki Pulau kerana gelombang yang besar. Hari ini sudah hari ke empat. Masih belum lagi dapat menikmati dan menghidu aroma dan rona sekolah. Duduk di asrama sekolah di Daro menanti panggilan pulau yang agak jauh juga perjalanannya. Line mobiliti sekejap ada kadang kadang tiada . Hujan sudah hari kedua. Sejuknya untuk berselimut di katil dan bermalas-malasan. .Apakan daya kami masih di sini.

January 8, 2009

Sisipan Pagi di Daerah Kecil Daro/Matu

Filed under: Corat Coret —Tagged , — yusriyana @ 3:12 pm

Terasa sengal pinggang.Bas bergerak macam siput.Perjalanan ke Daro memakan masa 3 jam. Jalan kecil yang sering di lalui dari Mukah dan Daro adalah jalan utama.Inilah jalan yang di gunakan oleh lori menggangkut kelapa sawit. Pagi bergerak dengan cepat.Jam 6.30 pagi sudah cerah.Matahari akan terbit bila bila masa sahaja.Hari ini menaiki bot ke Pulau Beruwit. Kampung Penibung terletak mengadap laut China Selatan.Sekolah Kampung Penibung di hentian sungai. Cerita agak sensasi.Tiada line mobiliti dan tiada capaian atas talian.Sekolah sudah di umumkan.Bakal guru semua sudah berdebar menantikan bagaimana keadaan sekolah masing masing.

January 4, 2009

Suatu Ahad yang Membosankan

Filed under: Uncategorized —Tagged — yusriyana @ 7:23 am

Hujan menangis  di ahad pagi yang suram. Satu hari ahad yang membosankan.Rindu pada teman yang bisa mengeluarkan kimia cinta. Bahasa rindu tidak pernah membosankan pada penuturnya, dan siulan rindu hanya untuk mereka yang tahu apa itu erti cinta.
Sawah padi penuh dengan air dan lopak lopak sawah sudah tiada ikan lagi di jelapang ini. Diri masih lagi berbaring malas di toto sambil di dinginkan oleh kipas jenama tempatan Khind. Tak tahu nak buat apa. Bukan kerana tidak tahu, tetapi tulang tulang aku sudah reput. Itu adalah ayat ayat pinjaman dari sebuah filem Tan Sri.Aku turun melangkah tangga menuju ke bilik bersiram..santapan pagi sudah tersedia yang cuma hanya cekodok di cicah sambal ikan dan juga kari ikan kembung semalam.
Huh sejuknya air siraman pertama dari cedok biru. Seterusnya siraman yang lain aku cuma menahan kesejukan itu.Tuala yang di pakai adalah pemberian dari seseorang. Sebuah hadiah dari kotak plastik yang di bungkus dengan reben serta daun dan bunga plastik. Hadiah yang bermakna.Bererti.
Aku berpakaian sempurna hanya dengan ‘tracksuit’ dan baju tshirt berkolar bulat melangkah rajin ke meja makan..”Ni makan yus”,”haah mak’ ringkas saja jawapan aku.Jawapan yang bersetuju dengan pelawaan itu.
Mukah masih lagi terngiang di bawah pemikiran sedarku.Bot,sampan dan Boeing juga seiring dengan cicahan cekodok aku ke sambal ikan kembung yang sedap dan wangi karya Kak Idah.Cuba untuk menidakkan apa yang di fikir, tetapi realiti bakal menjelma.Masa menanti lagi 2 hari. Dinihari yang ke 3 aku akan mengusung beg seperti peserta peserta AF yang kekurangan undi.Dinihari ke 4 aku ada di sebuah daerah asing dan terasing. Srup ..daun daun teh yang telah larut beserta dengan gula tebu aku hirup dengan perlahan..panas tapi menyegarkan diri dan juga perasaan. Perasaan yang masih di bayangi oleh fikiran dan angan yang tak berkesudahan.

Petang sudah hampir ke maghrib.Aku baru balik dari pekan Tg Karang.Membeli 2 helai seluar marhaaen di lot Bundle Abang Man. Ketemu Cikgu Hamid yang sudah tua wajahnya di penuhi uban sempat memberi pengalamannya kepada aku. Ceritera yang diisi dengan isi isi penting oleh cikgu Hamid memberi aku pedoman. Di daerah asing bukan tempat mainan.Daerah asing bukan tempat untuk menjadi romeo. Daerah asing kena pandai membawa diri.Daerah asing adalah daerah yang di genangi dengan air di mana-mana untuk kemana-mana. Tip yang berguna dari orang lama yang pernah berkelana lama di sana.

January 2, 2009

Aku Penghuni Mukah

Filed under: Corat Coret —Tagged — yusriyana @ 8:59 am

Seekor tikus gemuk sedang memanjat dinding dari sebuah almari buruk
dengan agak kelam kabut.Tikus pengecut itu mendaki dinding itu ke arah siling
yang telah berlubang dan menghilangkan diri di dalam kegelapan malam di atas celah bumbung rumah.Tikus itu mengingatkan aku tentang perjalanan hidupku akan datang yang tak pasti lagi macamana perjalanannya.
Adakah hidupku jadi kelam kabut seperti tikus yang memanjat dinding itu atau seperti keberaniannya menghadapi sinar terang lampu bilik tanpa takut kena ketuk dengan manusia yang memandangnya.

Mukah adalah sebuah bahagian ke 10 pada 2002.Aku adalah penghuninya pada 2009. Tanjung Manis di Belawai,Dalat adalah beberapa daerah yang aku kenali melalui atas talian. Nak datang ke sini melalui Kuching-sibu-MUkah atau boleh saja ambik flight dari Kuching terus ke Tg Manis di Belawai naik Maswings.Itu info dari atas talian dari jalur lebar ku.  Ada capaian atas talian boleh la aku menulis lagi jika tidak aku simpankan saja kenangan ni dalam hati yang lara..

Kumpul duit buat belanja,kumpul duit buat beli harta,kumpul ilmu buat pahala,beri ilmu jangan buat dosa..Salam Maal Hijrah

December 21, 2008

Dari Sekinchan Ke Borneo..

Filed under: Corat Coret —Tagged — yusriyana @ 12:45 am

Aku mengetahui tempat di ‘posting’kan dengan beberapa rasa yang berbeza. Ada rasa suka, ada rasa duka, ada rasa yang keliru, takut dan segala perasaan bercampur baur satu sama lain.

 Perasaan suka kerana bakal beroleh pengalaman baru yang pasti sama sekali berbeza dengan apa yang pernah aku rasai sebelum ini. Sudah pasti banyak pengetahuan , pengalaman yang bakal aku alami yang dapat membuka mata aku tentang negara ini. Rasa dukanya pula aku bakal berjauhan dengan keluarga, dengan tunang tersayangku dan  itu membuat aku rasa amat berat dengan keputusan ini. Tapi tidak mengapa, aku akan cuba dan  tabah menghadapi pelbagai ranjau yang mendatang dan pastinya sedia berkhidmat untuk negara. Aku juga berharap aku cekal semasa di sana, dan kehadiran teman teman IPTKl yang turut ke sana sekurang2nya membuat aku tidak keseorangan di negeri Borneo ini. Dan coretan ini bakal akan aku teruskan di sana sekiranya kemudahan internet dapat di capai, dan seharusnya banyak pengalaman yang menarik akan aku kongsikan sekiranya berkesempatan.

November 12, 2008

Sajak Kematian

Filed under: Corat Coret —Tagged — yusriyana @ 2:48 am

Fasa terakhir KPLI

Aku sedang menghayati minggu minggu yang terakhir sebelum bercuti. Minggu peperiksaan telah pun berlalu dan hanya menunggu kursus KISSM dan BTN sahaja lagi.Sekarang ini berdebar menunggu di manakah nasib aku untuk di tempatkan adakah di semenanjung atau aku akan berpeluang untuk naik belon ke sabah dan sarawak?.

Sajak Kematian

Banyak isu isu pendidikan yang kita dengar sekarang, antara isu semasa yang paling hangat ialah mengenai sajak Kematian yang di tayangkan kepada murid sekolah rendah. Ada pro dan kontranya, DS Hismuddin Hussien telah menyatakan pendapatnya yang tidak bersetuju mengenai tayangan ini di sebabkan ketidaksesuaian usia murid murid ini untuk melihatnya.

Bagi yang bersetuju pula ada juga hujah mereka tersendiri. Ada yang berpendapat tayangan ini memberi banyak faedah contohnya kesedaran anak mereka kepada kepentingan mengerjakan solat telah bermula dari peringkat sekolah rendah lagi. Tambah mereka lagi jika nak di bandingkan dengan ketakutan yang di alami oleh murid murid ini, apakah bezanya dengan tayangan di kaca tv? contohnya cerita hantu di TV3 setiap malam jumaat ataupun cerita Seeker di NTV7? dan banyak lagi vcd cerita seram yang mudah di beli di pasaran. Menurut mereka lagi di bandingkan dengan tayangan sajak kematian yang di pantau oleh guru, tayangan yang di TV ini pula kadangkala tanpa pengawasan sesiapa jika ibubapa tiada di rumah.mati

SUMBER GAMBAR:http://www.tranungkite.net

Nampaknya Menteri kita akan mengambil tindakan sewajarnya termasuklah akan mengenalpasti siapa yang menerbitkan video ini.Menurut pengadu, tindakan menayangkan sajak kematian ini menyebabkan anak mereka berbeza dari keadaan sebelumnya dan di hantui ketakutan walaupun ada kebaikannya kepada murid murid ini. Sebenarnya masaalah yang berlaku ialah di sebabkan tayangan video ini tidak mengikut aras kognitif murid itu sendiri. Seharusnya sajak ini masih tidak perlu untuk tayangan di peringkat di usia tujuh tahun. Seharusnya kajian harus di lakukan oleh pakar pakar pendidikan di waktu usia berapa yang paling sesuai untuk di sajikan tayangan ini kerana ada kebaikannya juga tayangan sajak kepada murid murid untuk meningkatkan kesedaran mereka sebagai orang Islam.

Kemaskini: DS Hismuddin telah mengarahkan tayangan video sajak kematian di tarik balik.

Sumber:Dunia Cikgu.Wordpress.Com

November 1, 2008

Pendapat DS Anwar Pasal harga minyak terbukti benar

Filed under: Corat Coret —Tagged , — yusriyana @ 9:53 am

Masih ingat tak dengan debat minyak antara DS Anwar Dengn Dato Ahmad Shabery Chik. Ada satu pendapat Anwar yang terbukti benar berlaku sekarang, dan kerajaan mengakui dengan melaksanakan pengurangan harga minyak beberapa kali kerana harga minyak yang menurun sekarang. Ini merupakan sedutan dari debat tersebut. Klik sini untuk Sedutan Debat Sepenuhnya

PERANTARA: Kita sampai kepada pusingan akhir, saya mempersilakan Dato’ Seri Anwar untuk membuat penggulungan. Kita ada waktu yang cukup terbatas, kira-kira satu setengah minit. Silakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Terima kasih. Di antara negara pengeksport minyak, harga minyak di Malaysia keterlaluan tinggi. Itu faktanya. Tidak saya mahu bandingkan dengan Venezuela. Itu yang pertama.

Kedua, harga minyak memang tidak menentu. Tetapi berapa ramai kajian dan pakar minyak menyebut sudah ada break point. Atau besar kemungkinan harga minyak itu menetap dan mula menurun.

Ketiga, kita mengemukakan cadangan ini, gagasan ini dengan penuh tanggung jawab. Kerana kita mahu ekonomi kita kukuh, kerana saya yakin di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, belum tentu sampai bila, kalau diteruskan dengan dasar yang ada sekarang, dalam tempoh dua bulan atau tiga bulan lagi, kedudukan ekonomi kita akan jauh lebih parah daripada kedudukan yang parah sebelumnya. Ini kenyataannya. Saudara tidak setuju, tidak apa.

Tapi saya minta teliti dengan baik dan objektif. Sebab itu saya komited, Insya Allah, kita dalam Pakatan Rakyat akan terus menjelaskan kepada rakyat dan saya sebab itu, saya tidak mahu hak saya dinafikan dan untuk meneruskan agenda ini walaupun Saudara Shabery memilih untuk menyerang secara peribadi, saya tidak mahu jawab. Kerana ini bukan ruangnya. Kerana ruang dia di RTM masih banyak lagi.

Dan saya tidak mempunyai ruang selepas ini. Tetapi percaya, fitnah ke, khianat ke, ada batasnya. Saya diberikan sebaik ada pilihan, Insya Allah saya akan bertanding dalam pilihan raya dalam masa sesingkat yang mungkin.

WPMU Theme pack by WPMU-DEV.